KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang mencari ‘peneman’ solat tarawih dengan wanita berbeza setiap hari mengundang kecaman dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, lelaki berkenaan memaklumkan dia akan berada di sekitar Kuala Lumpur selama lima hari untuk berbuka puasa serta menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih di masjid berbeza.
Menurutnya, dia mencari seorang wanita untuk menemaninya setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
“Kawan saya bawa tunangnya, jadi kalau ada wanita yang berminat Ramadan masjid ‘hunting’, bagitahu saya ya. Nak satu orang sahaja sehari,” tulisnya dalam hantaran berkenaan di Threads.
Lelaki itu turut menyenaraikan lima masjid yang bakal dikunjungi sekitar ibu kota dan Sendayan, Negeri Sembilan.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan tersebut yang dianggap tidak menghormati kesucian bulan Ramadan selain dilihat seperti mempermainkan tujuan sebenar ibadah.
Sebahagian warganet turut menasihati lelaki berkenaan agar lebih menjaga adab dan sensitiviti ketika melibatkan perkara berkaitan agama.

