BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal kembali menjadi tumpuan apabila ratusan alumni dijangka pulang ke kampus bagi memeriahkan program Alumni Balik Kampus (ABK) UKM 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini.
Program yang dianjurkan Pusat Perhubungan Alumni UKM itu merupakan edisi kedua selepas penganjuran sulung tahun lalu menerima sambutan menggalakkan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform penyatuan semula graduan UKM dari pelbagai era.
Menurut kenyataan pusat berkenaan, ABK bukan sekadar acara pertemuan semula, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan alumni dengan universiti dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama jangka panjang.
“ABK bukan hanya sekadar program reunion atau pertemuan semula rakan-rakan lama. Lebih daripada itu, program ini menjadi platform untuk menghimpunkan kembali warga alumni daripada pelbagai generasi, bidang dan latar belakang bagi memperkukuhkan hubungan dengan alma mater,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, kekuatan rangkaian alumni UKM yang kini berada dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran awam, korporat, pendidikan, keusahawanan, teknologi, media dan industri kreatif memberi potensi besar kepada perkongsian ilmu serta peluang kolaborasi strategik bersama universiti.
Dalam masa sama, sambutan Hari Alumni UKM pada 23 Jun turut membawa makna tersendiri kerana tarikh itu merujuk kepada detik konvokesyen pertama UKM pada tahun 1973 di Bangunan Parlimen Malaysia.
Antara pengisian program yang dirancang termasuk Bacaan Yasin dan Forum Perdana Alumni, Konsert Gala Alumni: Melodi Sepanjang Zaman, Senamrobik dan Sukan Alumni, Hari Terbuka Antara Kolej serta Hi-Tea Alumni UKM yang menjadi acara kemuncak dengan kehadiran alumni, pengurusan universiti dan tokoh alumni dalam suasana lebih eksklusif.

