JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan seluruh jentera parti secara menyeluruh sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berkata, kepimpinan BN sepakat bahawa segala kekuatan parti perlu digembleng bagi memastikan kemenangan pada kedua-dua pilihan raya negeri berkenaan.
Menurut beliau, PRN Johor dan Negeri Sembilan kini menjadi fokus utama gabungan itu dengan seluruh jentera parti akan digerakkan bagi memperkukuhkan persediaan di semua peringkat.
“PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi fokus utama BN dengan seluruh jentera parti akan digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan.
“Mesyuarat turut menzahirkan iltizam dan kesepakatan kepimpinan BN untuk memperkukuhkan parti, menjamin kestabilan politik negara serta merangka strategi terbaik menghadapi pilihan raya negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BN di Ibu Pejabat UMNO Johor, malam tadi.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Zambry berkata, BN juga akan terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen serta rangkaian ‘Friends of BN’ bagi memastikan kestabilan politik dan membina pentadbiran yang terus diyakini rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan mesyuarat tersebut turut memutuskan BN akan menggunakan logo dacing sebagai simbol rasmi gabungan itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Selain memperkukuhkan persiapan pilihan raya, BN turut beriltizam memperkasakan agenda keahlian langsung atau Direct Membership bagi menarik lebih ramai golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum menyertai gabungan berkenaan.
Tambah beliau, BN kekal komited mendukung kerajaan bagi memastikan kestabilan negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta menjamin kelangsungan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

