Khamis, 16 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
Hiburan'King of Threads' Kamal Adli kini kuasai pentas Melodi bersama Ain Edruce

‘King of Threads’ Kamal Adli kini kuasai pentas Melodi bersama Ain Edruce

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai siapakah pengganti Fikry Ibrahim sebagai pengacara program hiburan popular Melodi akhirnya terjawab apabila pelakon terkenal, Kamal Adli, diumumkan sebagai hos baharu yang bakal bergandingan bersama Ain Edruce.

Pemilihan Kamal dilihat sebagai sebahagian daripada pembaharuan menyeluruh yang dilakukan Melodi bagi membawa nafas baharu kepada program berkenaan, sekali gus menawarkan pengalaman tontonan yang lebih segar, moden dan dinamik kepada penonton.

Turut dikenali sebagai “King of Threads”, Kamal mempunyai personaliti spontan, berkarisma serta sentiasa mengikuti perkembangan industri hiburan. Kehadirannya dijangka memberi dimensi baharu kepada program yang sudah lama menjadi pilihan peminat hiburan tanah air.

Bergandingan bersama Ain yang sinonim dengan gaya penyampaian santai dan menghiburkan, pasangan pengacara itu optimis mampu mencipta keserasian serta menghidangkan setiap episod dengan lebih meriah dan dekat di hati penonton.

Menurut Kamal, beliau berterima kasih kepada TV3 dan Media Prima atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Melodi.

“Terima kasih kepada pihak TV3 dan Media Prima kerana memberi peluang ini kepada saya untuk bekerja bersama Ain Edruce. Sebelum ini kami memang pernah bekerjasama. Insya-Allah saya akan menonjolkan bakat saya dan memberikan yang terbaik untuk Melodi,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Terhangat Melodi di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Sementara itu, Ain turut meluahkan rasa teruja apabila sekali lagi digandingkan bersama Kamal selepas beberapa projek terdahulu.

“Saya memang teruja nak bekerjasama dengan Kamal. Sebelum ini pun kami pernah bekerja bersama, jadi saya nampak keserasian kami memang tiada masalah dan boleh pergi jauh,” katanya.

Selain perubahan barisan pengacara, Melodi kini tampil dengan identiti visual baharu termasuk set studio yang lebih moden, namun masih mengekalkan konsep hiburan hangat yang menjadi identiti program itu sejak sekian lama.

Bermula hari ini, Melodi bersiaran secara langsung pada setiap Khamis, jam 9 malam menerusi TV3 dan turut boleh distrim melalui aplikasi Tonton.

Program itu juga tidak lagi tertumpu kepada gosip selebriti semata-mata, sebaliknya memperluaskan liputan kepada perkembangan industri hiburan termasuk filem, muzik, drama, fesyen, gaya hidup dan pelbagai isu yang menjadi perhatian ramai.

Dalam masa sama, Melodi memperkenalkan segmen baharu Muzik-Muzik 41 yang membawakan perkembangan terkini carta muzik tempatan setiap minggu serta membuka ruang kepada peminat untuk mengambil bahagian dalam proses pengundian menuju ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bagi memperluaskan capaian segmen tersebut, Hot FM dipilih sebagai rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu yang akan bersiaran setiap Ahad, bermula jam 8 malam hingga 10 malam.

Sebelum ini, Fikry Ibrahim mengendalikan Melodi sejak 2024 sebelum membuat penampilan terakhirnya pada 10 Julai lalu, manakala Ain Edruce kekal sebagai pengacara program itu sejak tahun 2022.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-