KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertekad membersihkan namanya melalui proses perundangan selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan wang Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah lebih RM860.3 juta.
Jamil Khir, 65, menyatakan keyakinannya bahawa mahkamah merupakan medan terbaik untuk beliau memperoleh keadilan berhubung semua pertuduhan yang dihadapinya.
“Ini adalah tempat terbaik untuk mendapat keadilan. Saya meyakini, insya-Allah, mahkamah akan memberikan keadilan terbaik,” katanya selepas selesai membayar wang jaminan pada pukul 10.30 pagi.
Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51 atau SAR766,060,237 kepada Al-Rawda Real Estate Development and Projects Management Co Ltd.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir yang memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu didakwa secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM42,942,074 atau SAR44.17 juta pada 2015.
Beliau turut didakwa melakukan perbuatan sama melibatkan RM288,172,134.64 atau SAR250,041,622 pada 2016 dan RM529,194,561.87 atau SAR471,848,615 pada 2017.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kompleks D serta Kompleks Islam Putrajaya masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November depan.
