NILAI – Konflik rumah tangga yang berlarutan hingga ke proses perceraian dipercayai menjadi antara episod terakhir kehidupan seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditemukan maut, dipercayai dibunuh suaminya di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam KLIA, di sini, malam Khamis.
Mangsa, Norhazwani Ibrahim, 35, yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik, dikatakan jarang berkongsi masalah peribadi dengan keluarga meskipun mereka mengetahui rumah tangganya sedang bergolak.
Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, keluarganya masih terkejut dengan pemergian Norhazwani, lebih-lebih lagi apabila menerima berita bahawa adiknya dipercayai dibunuh oleh suami sendiri.
“Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini.
“Kira-kira jam 7.30 malam ketika saya berada di rumah, salah seorang adik lelaki saya menelefon dan memaklumkan arwah dibunuh suaminya yang telah pun menyerah diri di balai polis.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan segera hubungi balai polis yang mengesahkan adik saya telah mati ditikam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Amran, Allahyarham seorang yang ceria dan lebih selesa berkongsi masalah rumah tangganya dengan adik-beradik lain berbanding dirinya.
“Kami tahu dia ada masalah dengan suami, tapi dia tak pernah bercerita secara terperinci kepada saya, sebaliknya lebih banyak berkongsi dengan adik lelaki saya yang lain.
“Suaminya pula baru beberapa hari keluar dari penjara kerana kesalahan berkaitan dadah, manakala mereka kini dalam proses perceraian,” katanya.
Amran berkata, sehari sebelum kejadian, seorang lagi adik lelaki mereka yang menetap di Kelantan sempat bermalam di rumah mangsa dan mendapati pasangan berkenaan berada dalam keadaan biasa.
Malah, adiknya turut menasihati pasangan itu supaya menjaga hubungan rumah tangga dan mengelakkan sebarang pertengkaran.
Pasangan yang sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga itu mempunyai dua anak berusia lima dan enam tahun yang kini berada di bawah jagaan seorang lagi adik perempuan mangsa di Kelantan.
Mengulas mengenai kejadian itu, Amran berkata, keluarga amat sedih dan kesal dengan apa yang berlaku, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Kami terlalu sedih atas apa yang berlaku, sebab dia adik bongsu kami. Memang rasa geram, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, jenazah Norhazwani dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, bagi menjalani proses bedah siasat yang dijadualkan pada pagi Sabtu sebelum dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, seorang rakan sekerja mangsa yang enggan dikenali turut meluahkan rasa terkejut kerana Norhazwani dilihat menjalani rutin pekerjaan seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang masalah.
“Kami pun tak tahu masalah arwah dengan suaminya kerana di tempat kerja dia biasa saja,” katanya. – Sinar Harian
