KUALA TERENGGANU – Seorang murid lelaki berusia lapan tahun maut selepas dilanggar lori ketika dipercayai mahu mengambil bola di atas jalan di Kampung Surau Haji Daud, di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan dipercayai tiba-tiba memasuki laluan lori dari arah rumahnya di sebelah kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Kampung Surau Haji Daud menghala ke Kampung Tok Dir ketika kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijalankan malam ini,” katanya hari ini.
Beliau berkata, lori yang terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987..