RANTAU PANJANG – Insiden seorang anggota polis cedera parah akibat ditetak dengan parang ketika operasi membanteras dadah baru-baru ini tidak akan melemahkan usaha Polis Kelantan untuk terus memerangi kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sebaliknya akan memperkukuh kerjasama dengan ketua masyarakat serta orang ramai bagi memastikan kegiatan berkaitan dadah dapat dibanteras secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, penglibatan komuniti amat penting terutama dalam menyalurkan maklumat yang boleh membantu polis mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Polis juga mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai yang boleh membantu usaha kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat seorang anggota polis berpangkat Koperal yang cedera parah akibat ditetak dengan parang ketika menjalankan Op Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu, Jeli, pada 17 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, anggota berkenaan diserang seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ketika menjalankan tugas.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, Polis Kelantan telah mengisytiharkan perang terhadap dadah sejak 2024 sebagai langkah memperkukuh komitmen seluruh anggota dalam membanteras jenayah berkenaan.
Katanya, setiap anggota menyedari risiko yang perlu dihadapi termasuk kemungkinan mengalami kecederaan serius ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.
Beliau menegaskan, penyalahgunaan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat, malah menjadi antara punca berlakunya pelbagai jenayah termasuk keganasan rumah tangga dan jenayah harta benda.
Menurutnya, individu yang terjebak dengan dadah berpotensi bertindak agresif sehingga sanggup mencederakan ahli keluarga sendiri termasuk ibu bapa dan pasangan.
“Sebab itulah kita akan terus memberikan tumpuan kepada usaha membanteras dadah dan menjadikan usaha ini sebagai keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan memperluas pendekatan bersama pemimpin masyarakat dan individu yang boleh memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa menangani ancaman dadah di negeri berkenaan.
Katanya, kerjasama masyarakat bersama tindakan penguatkuasaan yang berterusan diharap dapat memperkukuh usaha membendung kegiatan dadah sekali gus melindungi keselamatan orang ramai.
Terdahulu, Mohd Yusoff bersama Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Ali Thamby dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Dr Douglas Nyeging Taong, melawat anggota yang cedera itu di kediamannya di sini. – MYBERITA
