Jumaat, 3 Julai 2026
spot_img
NasionalWarga Johor dapat cuti Isnin sempena kejayaan JDT

Warga Johor dapat cuti Isnin sempena kejayaan JDT

- Advertisement -
- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan Isnin, 28 April ini sebagai cuti peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap pencapaian luar biasa pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan JDT yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 menentang Sri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebagai sebuah kelab bola sepak berprestij bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut disegani di rantau Asia,” katanya.

Beliau berkata JDT kini dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima selepas merangkul gelaran tersebut pada tahun 2017, 2019, 2022 dan 2023.

Onn Hafiz turut menyeru seluruh penyokong Harimau Selatan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

“Ayuh, seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. 

“Semoga kemenangan milik pasukan JDT,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan kejayaan JDT menjuarai Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim pada jam 8 malam, Sabtu ini.

“Ayuh, kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk Chapter 2: The 11.

“Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
error: Kandungan di laman web ini dilindungi oleh hak cipta. Sebarang penyalinan atau penggunaan semula tanpa kebenaran bertulis daripada MYBERITA adalah tidak dibenarkan.