KUALA LUMPUR – Sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengimamkan solat jenazah bapanya telah menyentuh hati ribuan warga maya selepas ia tular di media sosial.
Rakaman berdurasi kurang dua minit itu menunjukkan kanak-kanak tersebut tenang memimpin solat jenazah dengan bacaan surah Al-Fatihah yang jelas dan penuh penghayatan, meskipun dalam suasana penuh hiba.
Video berkenaan dimuat naik oleh ibunya menerusi laman media sosial, menceritakan bahawa anak kecil itu menyimpan impian untuk menjadi seorang ustaz dan sering menyatakan hasratnya mahu mengerjakan ibadah umrah atau haji bersama kedua ibu bapanya.
“Abang selalu cakap apabila besar, abang nak jadi ustaz. Abang selalu ajak papa pergi Mekah. Papa cakap papa akan kerja keras. Tapi ALLAH lebih sayangkan papa,” tulis si ibu dalam kapsyen video tersebut.
Menurutnya lagi, pemergian suami tercinta pada hari Jumaat merupakan satu kehilangan besar buat keluarga mereka.
“Papa tinggalkan kami pada Jumaat yang mulia. Papa, walaupun kita tidak sempat pergi Mekah sama-sama, kita jumpa di syurga, ya,” luahnya penuh emosi.
Tindakan luar biasa si anak yang berani dan tabah mengimamkan solat jenazah ayahnya telah mengundang pelbagai reaksi menyentuh hati dalam kalangan pengguna media sosial.
“Dahsyatnya didikan. Anak sekecil lapan tahun boleh imamkan solat jenazah ayah sendiri. Besarnya nikmat ALLAH,” komen seorang pengguna, @sitinaquiah.
“Betapa hebatnya didikan ibu bapamu. Semoga menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia serta akhirat,” ujar @samsiahmuz pula.
“Semoga adik teruskan cita-cita untuk menjadi ustaz dan dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah,” kata @rosnihamdansanip.
Video tersebut telah meraih ribuan tontonan dan perkongsian dalam tempoh singkat, selain dibanjiri doa serta sokongan daripada orang ramai yang turut mendoakan ketabahan keluarga itu dan kejayaan anak kecil berkenaan di masa hadapan.


