Khamis, 11 Jun 2026

Cubaan samun gagal, penjenayah lari ditembak mangsa

JOHOR BAHRU – Cubaan empat lelaki bersenjatakan parang untuk menyamun penumpang sebuah kereta di sebuah stesen minyak di sini, awal pagi semalam, gagal apabila salah seorang mangsa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.11 tengah malam dan dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial.

Rakaman berdurasi dua minit itu menunjukkan sebuah kereta Honda Accord hitam berhenti di kawasan letak kereta stesen minyak, diikuti sebuah lagi Honda Accord berwarna perak yang berhenti di belakangnya.

Empat lelaki bertopeng keluar dari kereta perak tersebut sambil memegang parang dan terus memecahkan cermin kenderaan mangsa. Ketika kejadian, terdapat tiga individu berada di dalam kereta hitam berkenaan.

Orang awam yang berada di kawasan itu dilihat melarikan diri sejurus menyedari insiden tersebut.

Namun, cubaan jenayah itu tidak kesampaian apabila salah seorang penumpang kereta mangsa melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan kesemua suspek panik dan melarikan diri.

Sebahagian daripada mereka sempat menaiki semula kenderaan, manakala seorang lagi dilihat melarikan diri ke arah jalan utama.

Mangsa kemudian keluar dari kenderaan untuk memastikan kawasan selamat sebelum kembali masuk ke dalam kereta dan dipercayai mengejar kenderaan suspek.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com