KUALA LUMPUR – Penyanyi muda, Wani Kayrie meluahkan rasa syukur dan teruja apabila single terbarunya berjudul Cak Cak Cekuk dipilih sebagai antara persembahan utama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung di Putrajaya hujung bulan ini.
Lebih manis, kata Wani atau nama penuhnya Syazwani Syafirah Abdullah, 25, keterujaannya berganda apabila adiknya yang juga penyanyi, Wina Kayrie, turut diberi peluang menyanyikan lagu berkenaan pada acara berprestij itu.
“Selama ini saya simpan rahsia tentang pemilihan lagu ini. Bila dapat tahu adik sendiri yang akan menyanyikan Cak Cak Cekuk di pentas besar sambutan kemerdekaan, memang rasa sangat bangga dan berdebar.
“Tengok rakaman latihan pun sudah buat saya meremang. Ini bagaikan hadiah bermakna selepas lagu tersebut mencecah lebih sejuta tontonan. Terima kasih kepada semua yang menghargai karya ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Reaksi peminat di media sosial juga membanjiri ruangan komen dengan kata-kata positif, rata-ratanya menyifatkan lagu itu unik, bersemangat serta mampu menyatukan elemen tradisi dengan jiwa anak muda.
Untuk rekod, Cak Cak Cekuk diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, hasil ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh. Lagu bergenre pop moden dengan sentuhan tradisional itu diinspirasikan daripada irama rakyat popular Cak Cekur Udang Gamit yang diberi susunan kontemporari agar lebih dekat dengan pendengar masa kini.

