KUALA LUMPUR – Detik mencemaskan tercetus apabila seekor ular senduk muncul dari saluran lubang di dalam tandas sebuah kedai pakaian kanak-kanak di sini sebelum berjaya ditangkap oleh seorang lelaki.
Kejadian itu disedari oleh salah seorang pekerja premis berkenaan yang terkejut selepas melihat reptilia berkenaan menyusur keluar dari lubang tandas.
Video kejadian itu turut dimuat naik di akaun TikTok kedai tersebut, memperlihatkan ular berwarna gelap itu melingkar di dalam saluran air tandas, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Dah macam cerita Anaconda, bersisik dalam gelap tu,” tulis pengguna TikTok, Roseanne Farah.
Seorang lagi pengguna, Azrina Azzahrah, menceritakan pengalaman hampir sama yang pernah dialaminya.
“Baru Jumaat hari tu ular masuk rumah, punca dari lubang tandas. Nasiblah tergerak hati nak ke dapur masa tu,” katanya.
“Setiap kali masuk tandas awam atau stesen minyak, saya mesti periksa dulu lubang tandas dan saluran air. Takut jadi macam ni,” tambah seorang lagi pengguna, Hidayu.
Dalam video berkenaan, kelihatan ular senduk itu akhirnya berjaya ditangkap oleh seorang lelaki yang dipercayai pemilik atau pekerja kedai terbabit.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dihubungi berhubung kejadian itu.
Kehadiran ular di kawasan saluran tandas dipercayai berpunca daripada habitat reptilia tersebut yang terganggu akibat faktor cuaca dan persekitaran yang lembap.

