BANGKOK – Perenang sensasi negara, Khiew Hoe Yean, sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan pingat emas acara 200 meter gaya bebas lelaki di Sukan SEA Thailand 2025, sekaligus melengkapkan koleksi hatrik peribadinya dalam temasya dwitahunan tersebut.
Acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Huamark menyaksikan Hoe Yean terpaksa bekerja keras menewaskan saingan sengit dari Vietnam, Tran Van Nguyen Quoc, sebelum mengesahkan kemenangan dengan catatan masa 1:48.64 saat.
Perenang Vietnam itu hanya mampu meraih pingat perak selepas mencatatkan masa 1:48.70 saat, hanya 0.06 saat di belakang juara negara.
Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, Hoe Yean mengakui saingan dari Vietnam sangat mencabar.
“Perlumbaan hari ini bukan mudah, terutama sekali perenang Vietnam dari lorong lapan itu menunjukkan peningkatan yang cukup baik. Dia sebenarnya perenang yang bagus,” katanya.
Tambahnya, fokus utama adalah untuk terus berenang dan bertahan sehingga ke penghujung perlumbaan.
“Saya rasa dia memberikan saingan yang baik kepada saya,” ujarnya.
Walaupun gembira dengan kemenangan, Hoe Yean mengakui catatan masa tersebut bukanlah yang terbaik dalam kariernya.
“Ia bukan catatan masa terbaik saya. Tetapi pada ketika ini, memenangi perlumbaan adalah lebih penting. Membawa kejayaan kepada kontinjen Malaysia adalah perkara terbaik,” katanya lagi.
Kemenangan ini menandakan emas ketiga berturut-turut Hoe Yean dalam acara 200m gaya bebas di Sukan SEA, selepas menjuarai edisi 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
Namun, Hoe Yean enggan terlalu lama dibuai kejayaan kerana masih berbaki dua acara lagi yang perlu diharungi.
“Saya masih ada dua lagi acara. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi kami akan berikan segalanya dan hadapinya satu demi satu,” tegasnya.
Selain Hoe Yean, perenang negara lain, Arvin Shaun Singh Chhal, turut mencatat kejayaan apabila berjaya menaiki podium untuk membawa pulang pingat gangsa, menambah koleksi pingat negara dalam temasya kali ini.

