LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Tanjung Rhu Resort akan menganjurkan Sandbar Walk 2026, sebuah acara tahunan yang menampilkan fenomena alam semula jadi unik dikenali sebagai “sea parting”, yang hanya berlaku sekali setahun di perairan Langkawi.
Fenomena ini berlaku apabila paras air laut surut sehingga 0.0 meter, sekali gus mendedahkan beting pasir sepanjang ratusan meter yang menghubungkan Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya. Keadaan luar biasa ini membolehkan pengunjung berjalan kaki merentasi laut cetek, menawarkan pengalaman eksklusif kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain menjadi tarikan visual dan fizikal yang mengagumkan, Sandbar Walk 2026 turut membawa mesej penting berkaitan pemuliharaan alam sekitar. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk taklimat kesedaran oleh pakar naturalis, kawal selia laluan oleh agensi penguatkuasaan, serta kempen kesedaran awam bagi melindungi ekosistem marin yang sensitif di kawasan berkenaan.
Acara ini juga selari dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 dan Experience Kedah, dengan memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi, budaya dan penglibatan komuniti setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pelancongan mampan di Langkawi.
Menurut YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan) LADA, Sandbar Walk melambangkan identiti unik Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Sandbar Walk adalah simbol keunikan Langkawi – gabungan fenomena alam, kesedaran pemuliharaan dan warisan budaya. Kami percaya acara ini akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan, ekonomi tempatan serta memperkukuh imej Langkawi sebagai destinasi geo dan eko pelancongan bertaraf dunia,” katanya.
Penganjuran Sandbar Walk 2026 dijangka terus memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pilihan utama pelancongan alam semula jadi di rantau ini, selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemeliharaan khazanah alam negara.

