KAJANG – Seorang lelaki bertindak ganas dengan memukul serta mengugut seorang pesara warga emas sehingga cedera selepas mendakwa mangsa cuba melarikan diri susulan satu kemalangan kecil berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 69 tahun pada kira-kira pukul 4.49 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada satu kemalangan kecil yang melibatkan kenderaan mangsa dan suspek.
“Suspek dipercayai bertindak agresif dengan memukul serta mengugut mangsa selepas mendakwa mangsa cuba melarikan diri daripada lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 52 tahun telah ditahan pada pukul 11.30 malam di sekitar kawasan Kajang.
“Suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” jelasnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan R. Ganesan di talian 012-608 9180.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dengan menendang serta memukul seorang warga emas yang berada di dalam kenderaannya.
Dalam video berkenaan, lelaki tersebut mendakwa mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira cuba melarikan diri selepas melanggar kenderaannya.

