Beliau turut meminta penjelasan mengenai perancangan strategik untuk memperkukuh ekosistem kerajaan digital.
Sementara itu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) akan meminta Menteri Luar memberikan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir kilat di daerah Rasuwa, Nepal, pada 26 Ogos lalu.
Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pula dijadual meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan langkah memastikan bacaan IPU rasmi kekal tepat, telus dan diyakini masyarakat.
Beliau turut mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang menambah baik penyampaian maklumat kualiti udara supaya lebih mudah difahami serta responsif terhadap perubahan keadaan jerebu.
Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) akan meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pemilik kenderaan pikap dan jip di Sabah yang menerima tambahan 100 liter di bawah inisiatif BUDI Diesel.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah membantu pemilik kenderaan berkenaan yang menggunakannya untuk perniagaan kecil, pertanian dan perjalanan ke kawasan pedalaman.
Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pula akan membangkitkan keberkesanan Ops Tiris Bersepadu dengan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah kes, nilai ketirisan, rampasan serta tangkapan, khususnya di kawasan sempadan.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai kelemahan kawalan yang membolehkan kegiatan penyeludupan berulang serta langkah memperketat penguatkuasaan dan melumpuhkan rangkaian sindiket.
Selain itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) akan meminta Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah wanita berusia 25 hingga 59 tahun yang berada di luar tenaga buruh kerana tanggungjawab penjagaan anak, warga emas atau ahli keluarga.
Beliau juga mahu mengetahui nilai ekonomi kerja penjagaan tidak berbayar (unpaid care work) kepada negara serta perancangan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem ekonomi penjagaan nasional.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian akan meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada 9 Oktober lalu.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Oktober.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari sehingga 8 Disember ini. – Astro Awani









