KUALA LUMPUR – Aplikasi TuJu yang menjadi perhatian selepas dipromosikan sebagai alternatif kepada Waze sebenarnya dibangunkan khusus untuk meningkatkan perkhidmatan dan keselamatan pengguna lebuh raya bertol, bukannya sebagai pesaing langsung aplikasi navigasi antarabangsa itu.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pembangunan TuJu turut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Prosignal Consortium Sdn Bhd (Prosignal) tanpa menggunakan pembiayaan kerajaan.
Menurutnya, aplikasi berkenaan pada asalnya bertujuan memperkukuh sistem pengurusan trafik lebuh raya, selain menyediakan maklumat perjalanan dan bantuan kecemasan kepada pengguna.
“Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah baik kita punya pusat pengurusan trafik,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Hasni menjelaskan, meskipun TuJu mempunyai ciri navigasi, fungsi utamanya ketika ini tertumpu kepada pengguna lebuh raya bertol termasuk menyediakan maklumat kesesakan trafik, lokasi kawasan rehat, susur keluar dan kamera penguatkuasaan.
Katanya, aplikasi itu juga membolehkan pengguna mendapatkan maklumat bantuan sekiranya mengalami kerosakan kenderaan atau berdepan kecemasan ketika dalam perjalanan.
Penjelasan tersebut dibuat susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober lalu supaya rakyat Malaysia mempertimbangkan penggunaan TuJu sebagai alternatif kepada Waze atas faktor keselamatan maklumat dan data pengguna.
Bagaimanapun, peningkatan mendadak jumlah pengguna selepas pengumuman itu menyebabkan TuJu menerima pelbagai aduan berkaitan gangguan teknikal serta kelemahan fungsi navigasi.
Pada 23 Oktober lalu, Anwar mengakui aplikasi berkenaan masih belum lengkap sepenuhnya, namun menegaskan aspek keselamatan negara perlu terus diberikan perhatian.
Dalam perkembangan sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa penggunaan TuJu tidak diwajibkan, manakala aplikasi lain termasuk Google Maps masih boleh digunakan.
Mengulas lanjut, Hasni berkata, LLM ketika ini hanya mempunyai bidang kuasa terhadap lebuh raya bertol dan sebarang usaha memperluaskan liputan TuJu ke jalan persekutuan, jalan perbandaran atau jalan kampung memerlukan pertimbangan dari segi teknologi serta pembiayaan.
“Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, ya, kita boleh meluaskannya ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung.”
“Tetapi buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada lebuh raya bertol,” katanya.
Sementara itu, Hasni turut mempertahankan keputusan pemilihan Prosignal sebagai syarikat pelaksana projek berkenaan walaupun proses tersebut tidak melalui tender terbuka.
Beliau menjelaskan, cadangan pembangunan aplikasi itu telah dibentangkan ketika Datuk Abdul Rashid Asari menjadi Pengerusi LLM sebelum mendapat persetujuan secara kolektif daripada lembaga pengarah.
Menurutnya, keputusan tersebut bukan dibuat secara individu, sebaliknya melibatkan pertimbangan bersama bagi meningkatkan kemudahan kepada pengguna lebuh raya.
“TuJu dibiayai oleh pelabur dalam projek itu, sama ada melalui dana dalaman atau pinjaman.”
“Oleh itu, jika ada pihak yang bertanya mengapa ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, jawapannya ialah kerana tiada dana kerajaan yang terbabit. Selain itu, LLM sentiasa mematuhi peraturan kewangan,” katanya.
Difahamkan, memorandum persefahaman awal antara LLM dan Prosignal ditandatangani pada Mei 2022 menerusi inisiatif Lebuh Raya Pintar, sebelum satu perjanjian susulan dimeterai menjelang akhir tahun lalu bagi menambah baik perkhidmatan aplikasi berkenaan.
Dalam pada itu, Hasni turut mengakui perlunya penelitian terhadap maklumat yang disampaikan dalam taklimat LLM kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 20 Oktober lalu, khususnya berkaitan fungsi sebenar TuJu.
Beliau yang tidak menghadiri taklimat tersebut berkata, sebarang kekeliruan mengenai keupayaan aplikasi berkenaan perlu diberikan perhatian serius.
“Jika taklimat yang disampaikan oleh LLM kepada MKN itu mengelirukan, ia sepatutnya tidak berlaku.”
“Jika perkara itu benar-benar berlaku, saya berpendapat ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.
Hasni turut memaklumkan bahawa LLM bersedia memberikan penjelasan berhubung masalah teknikal TuJu sekiranya menerima permintaan rasmi daripada kerajaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya komitmen kewangan LLM pada masa hadapan sekiranya aplikasi berkenaan memerlukan penaiktarafan tambahan, bergantung kepada pelan perniagaan serta unjuran pulangan pelaburan projek tersebut. – BERITA HARIAN
