MELAKA – Tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada dunia lakonan, pelakon Yusuf Bahrin mula mengatur langkah membina sumber pendapatan alternatif dengan menceburi perniagaan kedai kopi sebagai persediaan menghadapi masa depan.
Yusuf atau nama sebenarnya Mohd Yusuf Bahrin, 34, berkata, meskipun bidang seni masih menjadi keutamaan, dia menyedari kepentingan mempunyai perancangan jangka panjang memandangkan perjalanan kerjaya sebagai pelakon sukar dijangka.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan bersama adiknya di Bandar Hilir, Melaka itu merupakan langkah awal untuk memastikan dirinya mempunyai pilihan sekiranya suatu hari nanti tidak lagi aktif dalam industri hiburan.
“Keutamaan saya masih dalam bidang lakonan. Saya masih letak lakonan sebagai kerja hakiki.”
“Perniagaan pula saya buat sebagai (kerja) sampingan sebab saya tidak tahu apa yang akan jadi pada masa depan. Saya anggap ia adalah ‘exit plan’ saya.”
“Jadi saya ‘prepare’ diri dan kerjaya saya untuk menceburi perniagaan lain. Saya hanya merancang, tetapi fokus saya masih lakonan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pilih bisnes kecil, tidak mahu tanggung kos tinggi
Mengulas mengenai perniagaannya, pelakon drama Kau Yang Pertama itu berkata, dia lebih selesa memulakan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa perlu mengeluarkan modal terlalu besar.
Jelasnya, operasi harian kedai kopi berkenaan diuruskan sepenuhnya oleh adiknya, sekali gus membolehkannya terus memberikan komitmen terhadap kerjaya lakonan.
Yusuf turut bersyukur kerana perniagaan tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan selain mempunyai pasukan kerja yang memberikan kerjasama baik.
“Saya tidak perlu keluarkan kos yang tinggi. Janji orang datang dan selesa. Itu pun dah cukup,” katanya.
Dalam pada itu, Yusuf tidak melihat pertambahan kedai kopi sebagai ancaman, sebaliknya menganggap persaingan tersebut sebagai perkembangan positif yang didorong perubahan gaya hidup masyarakat.
Bagaimanapun, dia mengakui trend perniagaan sentiasa berubah dan pengusaha perlu bersedia menyesuaikan strategi mengikut permintaan semasa.
Sanggup ulang-alik ke Melaka setiap minggu
Kesibukan menjalani penggambaran juga tidak menghalang Yusuf untuk pulang ke Melaka sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi meluangkan masa bersama keluarga serta memantau perkembangan perniagaannya.
Malah, dia turut mengambil kesempatan bertemu pelanggan kedai kopinya sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan.
Baginya, hubungan baik dengan pelanggan merupakan antara faktor penting untuk memastikan sesebuah perniagaan mampu bertahan meskipun trend pasaran berubah.
“Saya juga ada pelanggan yang mahu kita datang, jadi kita kena luangkan masa untuk pulang ke Melaka supaya dapat berjumpa dan belanja mereka (pelanggan),” katanya.
Belum terbuka hati untuk bercinta
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehidupan peribadi, Yusuf mengakui belum bersedia membuka hati untuk menjalinkan hubungan cinta baharu walaupun terdapat individu yang cuba mendekatinya.
Katanya, perhatian kini lebih tertumpu kepada kerjaya seni, perniagaan dan keluarga yang menetap di Melaka.
Dia juga tidak menetapkan sebarang sasaran khusus berkaitan soal percintaan, sebaliknya mahu menjalani kehidupan dengan tenang tanpa mengganggu fokus terhadap perkara yang sedang diusahakannya.
Buat masa ini, Yusuf memilih untuk terus memperkukuh kerjaya lakonan sambil mengembangkan pengalaman dalam dunia perniagaan sebagai persediaan menghadapi masa depan. – HARIAN METRO
