KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh pembangunan seni visual negara mendapat suntikan baharu apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam bidang seni, pendidikan serta perkongsian kepakaran.
Kerjasama strategik itu membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk menggabungkan kepakaran akademik dan pengalaman dalam bidang seni visual, sekali gus menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama pada masa hadapan.
Majlis pemeteraian MoU berkenaan berlangsung di Auditorium Balai Seni Negara, hari ini, dengan dokumen persefahaman ditandatangani Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Arham Abdullah dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad.
Menurut kenyataan LPSVN, kerjasama tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bidang yang berpotensi dibangunkan berdasarkan peranan dan kepakaran masing-masing.
“LPSVN mengalu-alukan inisiatif UMK ini sebagai peluang untuk kedua-dua institusi mengenal pasti bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan kepakaran masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Pemeteraian MoU tersebut turut dilihat sebagai langkah awal ke arah memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan agensi pembangunan seni visual negara.
Menerusi persefahaman berkenaan, kedua-dua institusi berpeluang meneroka pendekatan yang bersesuaian dalam memperkukuh hubungan antara bidang pendidikan, perkongsian ilmu dan pembangunan seni visual.
“MoU ini diharap dapat menjadi asas kepada hubungan kerjasama yang berterusan serta membuka peluang kepada pelaksanaan aktiviti bersama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi dan bidang seni visual negara,” menurut kenyataan sama.
Majlis itu turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPSVN, Alizam Hasan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPSVN, Rohana Mohd Yusof; Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid serta barisan pensyarah dan pegawai kanan LPSVN. – MYBERITA
