Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, laporan berkenaan dibuat susulan rasa tidak puas hati pengetua terbabit terhadap penyebaran video yang memaparkan dirinya diserang keluarga pelajar berkenaan.
Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan berhubung insiden serangan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan serta perkhidmatan rangkaian.
“Dia (pengetua) ada buat laporan polis pada 25 Oktober kerana tidak berpuas hati atas video yang ditularkan itu.
“Bagaimanapun, kita akan melihat daripada siasatan yang teliti berkaitan perkara ini kerana ia membabitkan penjawat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati kejadian serangan itu dipercayai berpunca daripada kemarahan keluarga pelajar selepas pengetua terbabit didakwa menghubungi remaja berkenaan bagi meluahkan perasaan cinta dan sayang.
Setakat ini, polis sudah merakam keterangan sembilan saksi termasuk pengetua terbabit bagi membantu siasatan menyeluruh terhadap kejadian berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan laporan yang dibuat ibu pelajar terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang membabitkan pengetua berkenaan.
Susulan dakwaan tersebut, pengetua terbabit sudah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan pihak JPN selesai.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan belum ada keputusan muktamad berhubung dakwaan terhadap pengetua terbabit. – Harian Metro









