KUALA LUMPUR – Tidak sempat memperbaiki hubungan dengan bapa ketika masih hidup menjadi penyesalan terbesar buat pempengaruh dan penyanyi, Cik B selepas kehilangan insan berkenaan pada 23 Oktober lalu.
Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Mohammad Amin, 21, mengakui terkilan apabila hanya berpeluang menemui bapanya, Allahyarham Mohammad Amin Yasin selepas pemergiannya, sedangkan kali terakhir mereka bertemu adalah ketika dirinya masih kecil.
Luahan penuh emosi itu dikongsikan menerusi sebuah video yang dimuat naik ibunya, usahawan terkenal Datuk Seri Vida di media sosial baru-baru ini.
Menurut Cik B, pengalaman kehilangan bapa tanpa sempat bersemuka kembali meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya, sekali gus menjadi pengajaran supaya orang ramai tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan.
“Cik B sendiri menyesal kerana hanya jumpa sewaktu dia sudah tiada. Sebelum ini memang tidak bersemuka, kali terakhir jumpa sewaktu masih kecil.
“Bagaimanapun, dia tetap ayah Cik B dan penyesalan ini memang tiada kesudahannya,” katanya.
Dalam pada itu, Cik B menasihati individu yang mempunyai hubungan dingin dengan ibu bapa supaya mengetepikan perselisihan dan berusaha memperbaiki keadaan sebelum terlambat.
Katanya, perpisahan atau perceraian antara ibu bapa tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak untuk terus menjaga silaturahim dengan kedua-duanya.
“Sama ada ayah atau ibu yang tiada di sisi, cubalah untuk menelefon atau berhubung dengan mereka. Jangan sampai mereka sudah tiada baru kita hendak mencari,” katanya.
Cik B turut mengingatkan bahawa anak-anak tidak semestinya mengetahui isi hati ibu bapa, termasuk kemungkinan mereka sudah berubah menjadi insan lebih baik.
Sehubungan itu, dia menggalakkan orang ramai supaya sekurang-kurangnya menghubungi ibu bapa melalui telefon atau meluangkan masa bertemu beberapa kali dalam setahun meskipun tinggal berjauhan.
Terdahulu, Vida bersama anak-anaknya dilaporkan berada di Jakarta, Indonesia ketika menerima perkhabaran mengenai kematian bekas suaminya itu.
Mereka sekeluarga kemudian menziarahi pusara Allahyarham Mohammad Amin di Kelantan, semalam.
Untuk rekod, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Amin pada 2000 sebelum bercerai pada 2008.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Cik B dan Muhammad Eric Zaquan.
Bagaimanapun, dua anak mereka, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di kediaman Vida di Meru Hill, Ipoh pada 2013.
