Rabu | 28/10/2026 | 7:58:54 pm
HomeJenayahKes kematian Zaharif, bekas pegawai polis terlepas hukuman mati

Kes kematian Zaharif, bekas pegawai polis terlepas hukuman mati

IPOH – Selepas hampir tiga tahun menanti keputusan mahkamah, keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie akhirnya menyaksikan pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan atas kesalahan menyebabkan kematian remaja berusia 17 tahun itu.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu selepas Mohd Nazri mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, selepas pertuduhan asal membunuh di bawah Seksyen 302 kanun sama dipinda.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Nazri membayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, manakala hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 15 Disember 2023.

Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebabkan kematian yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Dalam prosiding itu, bapa mangsa hadir bersama dua ahli keluarga lain untuk memberikan kenyataan impak kepada mahkamah sebelum keputusan dimuktamadkan.

Muhd Zamrie dilaporkan tidak dapat menahan sebak ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mirza Muhaimi Zaidi, berkata keluarga berkenaan menghargai sokongan semua pihak sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

“Kami menghormati keputusan mahkamah yang mulia ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi di persimpangan Jalan Taman Jati 1, Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey, manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman.

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular