SEPANG – Perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini menjadi medan penting buat pelumba muda negara, Hakim Danish untuk merapatkan jurang mata dengan pencabar terdekatnya dalam saingan Moto3.
Hakim yang kini menghuni tangga kesembilan carta pelumba dengan 103 mata hanya dipisahkan lapan mata daripada pelumba Indonesia, Veda Pratama yang berada di kedudukan kelapan dengan 111 mata.
Pelumba berusia 19 tahun itu turut berpeluang memberi tekanan kepada wakil Argentina, Valentin Perrone yang menduduki tangga ketujuh dengan 120 mata, sekali gus membuka ruang untuknya melonjak dalam carta keseluruhan.
Beraksi di laman sendiri dijangka memberi kelebihan kepada Hakim yang bakal menerima sokongan padu penyokong tempatan dalam usaha memburu keputusan terbaik di Sepang.
Malah, kejayaan menamatkan perlumbaan di kedudukan podium bukan sahaja mampu membantu Hakim mengutip mata penting, malah mengukuhkan peluangnya untuk mencabar gelaran ‘Rookie of the Year’ pada musim penampilan sulungnya.
Keyakinan terhadap kemampuan pelumba negara itu turut disandarkan kepada kejayaan luar biasanya ketika GP Republik Czech di Litar Brno sebelum ini.
Pada perlumbaan berkenaan, Hakim mencipta sensasi apabila bangkit daripada petak permulaan ke-14 untuk muncul juara, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dengan pelumba terbaik di pentas antarabangsa.
Sementara itu, pelumba Sepanyol, Maximo Quiles terus mengungguli carta kedudukan Moto3 dengan kutipan 351 mata, jauh meninggalkan rakan senegaranya, David Almansi yang berada di tempat kedua dengan 217 mata.
Dengan jurang mata yang masih mampu dirapatkan, aksi di Sepang bakal menjadi peluang terbaik buat Hakim untuk memperbaiki kedudukan serta meneruskan momentum positif dalam saingan musim ini.