KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga anak tirinya dalam kejadian di sebuah rumah di Setapak, di sini pada 20 Disember lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa yang berusia 27 tahun pada pukul 1.48 tengah hari, sehari sebelum penahanan dibuat.
Menurut beliau, ibu mangsa mendakwa melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap anaknya.
“Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga bapa tiri mangsa. Lelaki berkenaan kemudiannya dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah menganiaya atau mengabaikan kanak-kanak.
Terdahulu, polis turut mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Capricedaddycap di media sosial, memaparkan seorang lelaki bertindak memukul dan menendang seorang kanak-kanak serta mengarahkannya berlari berulang-alik.

