KUALA LUMPUR – Pengorbanan seorang ibu muda yang sanggup berjauhan dengan bayi berusia empat bulan demi menyambung pengajian di universiti meraih perhatian dan sokongan ramai di media sosial.
Perkongsian tular baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila memaparkan situasi seorang ibu yang terpaksa meninggalkan anak kecilnya di asrama ketika kembali menyambung pengajian di sebuah universiti awam.
Menerusi foto dikongsikan, kelihatan seorang bayi berusia empat bulan berada di atas katil asrama, dipercayai ketika sesi pendaftaran atau kepulangan ibunya ke kolej kediaman.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan wanita berkenaan dalam meneruskan pengajian walaupun bergelar ibu.
“Bangganya saya tengok perempuan yang ada kesungguhan sambung belajar walaupun dah ada suami dan anak,” kata seorang pengguna.
“Tolong abaikan apa orang cakap. Saya tahu berat hati nak tinggalkan anak, tapi jangan tinggalkan impian,” ujar seorang lagi pengguna.
Dalam masa sama, ada juga yang berkongsi pengalaman melalui situasi sama apabila terpaksa mengharungi fasa kehamilan dan membesarkan anak ketika melanjutkan pengajian.
Menurut seorang pengguna, kehadiran anak pada hari konvokesyen merupakan momen paling bermakna selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh belajar.
“Syabas dan tahniah kepada semua ibu yang gigih menyambung pengajian demi masa depan,” katanya.
Perkongsian itu sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai wanita bahawa peranan sebagai ibu bukan penghalang untuk terus mengejar impian dan pendidikan demi masa depan keluarga. –MYBERITA

