KUALA LUMPUR – Fenomena cahaya berapi yang dilihat melintasi langit di beberapa kawasan di Indonesia baru-baru ini disahkan bukan hujan meteor, sebaliknya serpihan roket yang terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi.
Beberapa video tular memaparkan objek bercahaya seperti api meluncur di langit, khususnya di wilayah Lampung dan Banten pada Sabtu lalu, mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Bagaimanapun, Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) mengesahkan fenomena tersebut adalah serpihan angkasa daripada roket milik China.
Menurut analisis orbit, serpihan itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada roket Long March 3B yang bergerak dari arah India menuju ke Lautan Hindi.
Profesor astronomi BRIN, Thomas Djamaluddin berkata, objek tersebut mula memasuki atmosfera pada ketinggian kurang 120 kilometer sekitar jam 7.56 malam waktu tempatan, sekali gus menjadikannya kelihatan jelas kepada penduduk di kawasan pantai barat Sumatera.
“Penduduk terkejut melihat objek terang seperti terbakar di langit sebelum ia pecah kepada beberapa bahagian ketika memasuki atmosfera,” jelasnya.
Fenomena itu berlaku apabila serpihan angkasa bergesel dengan atmosfera Bumi, menghasilkan haba tinggi yang menyebabkan ia terbakar dan berpecah, sekali gus mencipta kesan visual menyerupai hujan meteor.
Insiden tersebut menarik perhatian ramai di media sosial, dengan ada yang menyifatkannya sebagai “meteor”, namun penjelasan rasmi mengesahkan ia hanyalah serpihan roket yang memasuki semula atmosfera. – MYBERITA

