KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu video memaparkan seorang warga emas bersama cucunya menghantar sebuah kalkulator rosak ke sebuah kedai untuk dibaiki selepas dipercayai dimasuki air.
Namun, perkongsian daripada pemilik kedai berkenaan mengundang perhatian ramai apabila mereka didakwa mengenakan caj sebanyak RM30 bagi kerja pembaikan tersebut.
Perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet yang mempertikaikan kewajaran harga dikenakan, apatah lagi kerja pembaikan dilihat tidak rumit dan hanya melibatkan penukaran bateri.
Lebih menimbulkan persoalan apabila bateri digunakan didakwa diambil daripada alat kawalan jauh dan bukannya bateri baharu.
Susulan kritikan yang diterima, individu yang membaiki peranti tersebut tampil memberikan penjelasan dengan memaklumkan itu merupakan kali pertama dia membaiki kalkulator.
Menurutnya, bateri yang digunakan sebenarnya masih baharu, cuma diambil daripada alat kawalan jauh kerana mahu mempercepatkan proses pembaikan.
“Mengenai isu RM30, sekarang ini kira standard harga bagi kerosakan air untuk telefon antara RM50 hingga RM80. Saya pula pertama kali baiki kalkulator, jadi ambil kira harga standard.
“Pelanggan pun setuju dengan harga itu, kalau tidak setuju kami tidak akan teruskan pembaikan,” katanya.
Tambahnya, caj yang dikenakan adalah upah pembaikan dan pihaknya bersedia mengurangkan harga sekiranya pelanggan tidak bersetuju.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut masih tidak memuaskan hati sebahagian warganet yang terus mengkritik tindakan berkenaan, khususnya melibatkan pelanggan warga emas.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan menyifatkan caj tersebut tidak wajar memandangkan kerja pembaikan yang dilakukan adalah mudah.
“Dah la guna bateri second hand ambil dari alat kawalan jauh, jenama pun tak pasti. Caj sampai RM30, dapat berkat ke duit tu bang? Agak-agaklah berniaga. Memang dari awal dah bagitahu harga, tapi kena tengok juga jenis kerosakan,” kata seorang pengguna.
Isu tersebut sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai etika perkhidmatan serta kewajaran caj dikenakan, terutama apabila melibatkan golongan warga emas. -MYBERITA

