KUALA LUMPUR — Satu dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencetuskan perhatian ramai selepas tular di media sosial.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna Threads, @aynashfqh, yang berkongsi keadaan pakaian sekolah adiknya yang koyak dan rosak, dipercayai akibat perbuatan buli di asrama.
Menurut individu berkenaan, adiknya yang baru memasuki Tingkatan Satu didakwa menjadi mangsa gangguan berterusan sehingga bukan sahaja uniform sekolah rosak, malah barangan peribadi lain seperti buku, kasut bola, cadar dan lokar turut diconteng serta dirosakkan.
“Selalu dengar orang lain kena buli. Sekali kena dekat adik sendiri. Ayah beli baju guna duit, bukan guna tisu.
“Baru Tingkatan 1 sudah tunjuk garing, sekolah mana tak mahu ‘mention’,” katanya dalam hantaran tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa adiknya kini mengalami tekanan emosi akibat kejadian itu, namun masih berhasrat untuk meneruskan persekolahan di MRSM walaupun telah berdepan situasi berkenaan selama kira-kira empat bulan.
Tambahnya, keluarga telah bertemu dengan kaunselor sekolah, namun dimaklumkan bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan. Bagaimanapun, gangguan didakwa masih berlarutan.
“Kami tiada niat untuk viralkan perkara ini, tetapi mohon pihak berkaitan bantu selesaikan kes ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberikan respons tegas berhubung dakwaan tersebut.
“MRSM mana ini? Bagi maklumat pada saya. Tiada kompromi dengan perbuatan buli seperti ini. You touch, you go,” katanya menerusi ruangan balas hantaran berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi pendidikan di bawah seliaannya, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu disahkan benar.

