Sabtu, 13 Jun 2026

USM gerak agenda hijau lebih agresif, 60 program kelestarian sepanjang Jun

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) memperhebat usaha membudayakan kelestarian dalam kalangan warga kampus dan masyarakat menerusi penganjuran lebih 60 program sepanjang Bulan Kelestarian USM 2026 yang dilancarkan serentak dengan Sustainability Future Initiatives Exhibition (SUFIEX 4.0).

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen universiti dalam memperkasakan amalan lestari melalui penglibatan aktif warga kampus dan komuniti setempat.

“Kelestarian bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian,” katanya ketika merasmikan Bulan Kelestarian USM 2026 dan SUFIEX 4.0 di Dewan Utama Desasiswa, USM, baru-baru ini.

Sepanjang Jun ini, pelbagai program berteraskan pendidikan, komuniti dan penjagaan alam sekitar akan dilaksanakan termasuk Sustainability Talk Series, Brisk Walk “Breath Clean, Walk Free”, Penang Trash Free Hill 2026, Kempen No Tobacco No Vape, Kempen Bring Your Own Bag, Sustainability Street: Speaker Corner, program kitar semula serta pelbagai pertandingan dan aktiviti kesedaran.

Turut menjadi tumpuan ialah SUFIEX 4.0 yang menghimpunkan projek, inovasi dan idea kelestarian daripada pelajar serta rakan kolaborasi, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Dr. Azlan Amran berkata, kekuatan agenda kelestarian tidak hanya terletak pada penganjuran program, sebaliknya melalui pembentukan budaya dan perubahan tingkah laku jangka panjang dalam kalangan warga universiti.

Sementara itu, Pengarah Projek SUFIEX 4.0, Janagahrasu Manivannan berkata, pameran tersebut berfungsi sebagai platform pemerkasaan idea dan tindakan kelestarian, khususnya dalam kalangan pelajar.

Program SUFIEX yang diperkenalkan sejak 2023 kini memasuki edisi keempat dan terus berkembang sebagai platform yang menggabungkan elemen inovasi, pendidikan serta penglibatan komuniti secara lebih inklusif.

Menurut Pengarah Jawatankuasa Kerja Bulan Kelestarian USM, Muhammad Kamarul Aiman Kamarul Azman, program tahunan itu menjadi medium penting dalam membudayakan amalan lestari dan menggalakkan penyertaan warga kampus dalam pelbagai inisiatif pembangunan mampan merentas disiplin.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti, Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global dan Penyelaras Sekretariat Kampus Sejahtera.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com