KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Petaling Jaya, Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda pada petang Sabtu, menyebabkan premis perniagaan, jalan raya dan kenderaan ditenggelami air.
Antara lokasi yang terjejas paling teruk ialah Medan Selera 223 di Seksyen 51A apabila kawasan berkenaan dinaiki air sehingga mencecah paras dada.
Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, beberapa individu dilaporkan terkandas di medan selera tersebut dan terpaksa memanjat meja makan bagi menyelamatkan diri sementara menunggu bantuan.
Seorang pengguna Threads, @nursyazanamirza, mendakwa seorang lelaki sempat keluar daripada kenderaannya sebelum kereta itu dihanyutkan arus banjir.
“Ya Allah kesiannya, dekat 223 banjir. Ada abang tu dalam kereta, nasib baik sempat keluar, kereta dia dihayut air.
“Banyak kali dah banjir dekat sini, semoga dipermudahkan urusan semua,” tulisnya.
Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Medan Selera 223 dilanda banjir kilat selepas kejadian sama dilaporkan berlaku sekitar April dan Mei lalu.
Selain itu, ibu pejabat (HQ) Amway di Seksyen 51A turut terjejas apabila kawasan parkir dinaiki air sehingga menyebabkan beberapa kenderaan hampir tenggelam sepenuhnya.
Sementara itu, beberapa trak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat berada di kawasan Phileo Damansara, Seksyen 16, Petaling Jaya, dipercayai bagi menjalankan operasi menyelamat sebuah kenderaan yang ditenggelami air berhampiran Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA).
Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain sekitar Selangor dan Kuala Lumpur susulan hujan lebat berterusan pada sebelah petang.
Setakat ini, pihak berkuasa masih memantau situasi di kawasan terjejas, manakala orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan laluan yang dinaiki air serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan.


