Jumaat, 21 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalLebih 80,000 dijangka banjiri Putrajaya, persiapan Hari Kebangsaan 2026 cecah 90 peratus

Lebih 80,000 dijangka banjiri Putrajaya, persiapan Hari Kebangsaan 2026 cecah 90 peratus

PUTRAJAYA – Lebih 80,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, dengan persiapan keseluruhan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, aspek kesiapsiagaan tapak, logistik, keselamatan serta latihan kontinjen kini berada pada fasa akhir bagi memastikan sambutan berlangsung lancar dan teratur.

Beliau berkata, walaupun penganjuran tahun ini dilaksanakan dengan peruntukan sederhana, kemeriahan sambutan tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Perlu saya maklumkan bahawa kerajaan menetapkan sambutan kali ini dengan peruntukan yang sederhana tetapi kemeriahan tetap akan kita rasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tapak daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Menurut Abdul Halim, pendekatan berjimat turut memberi kesan kepada skala beberapa pengisian, termasuk pertunjukan udara dan jumlah aset yang dipamerkan.

“Pertunjukan udara juga masih ada tetapi dalam skala kecil, aset juga saya maklumkan tadi berkurangan kerana mengambil kira sebagai mana sedia maklum krisis tenaga dan bekalan masih berlangsung, kerajaan sangat cermat dan berhati-hati dalam menguruskan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan cuaca menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian menjelang acara berkenaan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Maklumat berkaitan keadaan cuaca akan dikemas kini dari semasa ke semasa sebelum disampaikan kepada orang ramai bagi membantu memastikan aspek keselamatan pengunjung dan peserta sentiasa terjamin.

Terdahulu, Abdul Halim berkata Kementerian Komunikasi menubuhkan 18 jawatankuasa kerja bagi menyelaras pelbagai keperluan sambutan, termasuk Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat.

Katanya, jawatankuasa itu bertanggungjawab memastikan tapak sambutan dan keperluan logistik berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik, selain menyokong kelancaran keseluruhan acara.

Beliau berkata, kesiapsiagaan tapak bukan sekadar berkaitan aspek penganjuran, malah mencerminkan imej serta kualiti sambutan dan menjadi elemen penting dalam memastikan acara berlangsung secara selamat, teratur dan tanpa sebarang halangan.

Sementara itu, fasa raptai akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Ogos sebagai persediaan terakhir sebelum sambutan Hari Kebangsaan yang membawa tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Acara perarakan dan perbarisan tahun ini membabitkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Dengan persiapan kini memasuki tahap akhir, tumpuan seterusnya adalah memastikan semua komponen sambutan dapat digerakkan secara tersusun bagi menerima puluhan ribu pengunjung di Dataran Putrajaya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-