GEORGE TOWN – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada harga lebih rendah daripada pasaran membawa kepada penahanan seorang pengerusi agensi kerajaan bersama empat individu lain.
Kesemua mereka diperintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kedudukan dalam urusan pelupusan tanah yang dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim di Mahkamah Majistret George Town selepas SPRM memohon tempoh reman selama tujuh hari terhadap kesemua suspek.
Lima individu berusia antara 40-an hingga 50-an itu ditahan secara berperingkat antara kira-kira jam 11 pagi hingga 12 tengah hari semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret George Town pagi ini bagi prosiding permohonan reman.
Selain pengerusi agensi kerajaan berusia lingkungan 50-an dan bergelar Datuk itu, empat lagi yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal serta seorang kerani wanita.
Sumber berkata, pengerusi agensi berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah sebuah agensi.
Beliau dipercayai terbabit dalam proses meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan sekutunya.
Siasatan turut menjurus kepada dakwaan tanah berkenaan diluluskan untuk dijual pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran, sekali gus mengakibatkan kerugian dianggarkan RM1.96 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berhubung kes berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
Seksyen berkenaan berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara atau sekutu.
Siasatan masih dijalankan bagi menentukan keseluruhan fakta dan penglibatan setiap individu dalam urusan pelupusan tanah berkenaan.

