SEPANG – Bukan sekadar membawa pulang pingat, 92 pelajar Malaysia berusia antara sembilan hingga 18 tahun membuktikan bakat muda negara mampu mencipta kejayaan di pentas robotik dunia apabila meraih lima pingat pada World Robot Challenge ke-23 di Beijing, China.
Kejayaan itu membabitkan dua emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding penyertaan tahun lalu yang hanya menghasilkan dua pingat.
Lebih membanggakan, pencapaian tersebut diraih dalam kejohanan yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta serta peminat robotik dari lebih 40 negara, sekali gus meletakkan pelajar Malaysia sebaris dengan bakat muda antarabangsa.
Pengarah projek World of Robotics Sdn Bhd (World of Robotics), Michelle Choo berkata, kejayaan berkenaan hasil persediaan rapi yang dilakukan selepas pelajar terbabit menyertai pertandingan World of Robotics Championship.
“Sebelum ini, pelajar-pelajar ini menyertai pertandingan World of Robotics Championship. Selepas pertandingan tersebut, kami sediakan latihan intensif sebagai persediaan, dan saya rasa mereka sememangnya bersedia untuk menghadapi cabaran di Beijing,” katanya.
Menurut Choo, pencapaian itu bukan sahaja membuktikan kemampuan pelajar tempatan bersaing di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keberkesanan usaha berterusan dalam melahirkan generasi baharu yang mempunyai kemahiran dalam bidang robotik.
Lima pingat tersebut diraih menerusi empat kategori iaitu Puck Collector Junior, Puck Collector Senior, Robobowling Senior dan Freestyle Junior.
Pingat emas Puck Collector Junior dimenangi Che Raeesa Che Rostami, Anaqi Azizi Asnur dan Wan Umar Wan Azlan, manakala emas Robobowling Senior menjadi milik Cheong Zhen Hao, Lee Jian Kai dan Yap Yu Min.
Elijah Shreyash Nair dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy pula menyumbang pingat perak menerusi Puck Collector Senior.
Dua lagi pingat gangsa masing-masing diraih Cheah Cheng You, Keith Chan dan S. Avighna Sivam dalam Puck Collector Junior serta M. Nethish Sharmaa dan Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis bagi kategori Freestyle Junior.
Dalam pada itu, Pengerusi World of Robotics, Zainuren Mohd Nor berkata, kejayaan pasukan Malaysia turut mempunyai nilai lebih besar apabila pelajar daripada pelbagai kaum bergabung di bawah satu identiti negara.
“Mereka bukan setakat bertanding, tapi kita membina semangat kenegaraan yang sangat kuat. Hubungan mereka sangat rapat, macam adik-beradik, malah menerima sokongan padu daripada ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata penglibatan dalam robotik juga mampu menjadi pencetus kepada minat pelajar terhadap bidang STEM yang semakin penting dalam pembangunan bakat masa depan.
“Saya juga percaya dengan penglibatan pelajar dalam bidang robotik akan memupuk minat mereka untuk belajar STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik),” katanya.
Bagi Nethish Sharmaa, 11, penyertaan di Beijing cukup bermakna apabila ia menjadi pengalaman pertamanya bertanding di luar negara.
“Saya teruja dapat bertanding di luar negara buat kali pertama dan pengalaman ini memang menjadi kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.
Sementara itu, Che Raeesa, 12, berkata pertandingan berkenaan turut mengajarnya kepentingan bekerjasama dan bertolak ansur ketika menyelesaikan tugasan secara berkumpulan.
Kejayaan di Beijing itu bukan sahaja menambah koleksi pingat Malaysia, malah memberi gambaran bahawa bakat muda negara dalam bidang robotik mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di pentas dunia.

