Selasa, 11 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
Nasional980 ahli dijangka keluar parti susulan Bersatu Parit Buntar bubar

980 ahli dijangka keluar parti susulan Bersatu Parit Buntar bubar

PARIT BUNTAR – Krisis kepercayaan terhadap kepimpinan pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin memuncak apabila Bahagian Bersatu Parit Buntar mengambil keputusan membubarkan bahagian itu malam ini, susulan peletakan jawatan beramai-ramai kepimpinannya.

Lebih mengejutkan, tindakan berkenaan dijangka turut membawa keluar kira-kira 980 ahli daripada 15 cawangan Bersatu di Parit Buntar.

Ketua Bahagian Bersatu Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian pada 5 Ogos lalu yang membincangkan hala tuju parti dan tahap keyakinan terhadap kepimpinan pusat.

“Pembubaran bahagian ini dijangka akan menyebabkan seramai 980 ahli Bersatu Parit Buntar daripada 15 cawangan turut keluar parti,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Permatang Tok Mahat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu turut dipengaruhi tindakan serta pendirian Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang didakwa tidak mencerminkan semangat perjuangan parti.

Md. Nayan berkata, mereka berpendirian bahawa beberapa keputusan kepimpinan pusat bercanggah dengan nilai yang selama ini menjadi asas perjuangan Bersatu, khususnya slogan ‘Bersatu, Beramanah, Bermaruah’.

“Keputusan ini dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap AMT Bersatu Pusat berikutan tindakan dan keputusan yang diambil semasa PRN Negeri Sembilan yang bercanggah dengan nilai-nilai perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini sentiasa menjunjung Perlembagaan Bersatu serta prinsip perjuangan parti, namun perkembangan semasa menyebabkan keyakinan terhadap kepimpinan pusat semakin terhakis.

“Kami sebagai ahli yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Bersatu serta prinsip perjuangannya tidak lagi mempunyai keyakinan bahawa kepimpinan AMT Pusat sedang memelihara nilai dan amanah, iaitu asas perjuangan parti,” katanya.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan Bersatu di Parit Buntar, khususnya sekiranya sebahagian besar ahli yang terlibat benar-benar mengambil keputusan meninggalkan parti.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-