SUBANG JAYA – Kegembiraan seorang kanak-kanak bermain bersama rakan-rakannya bertukar cemas apabila dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran sebuah pasar raya di Persiaran Subang Indah, di sini, petang tadi.
Mangsa, kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6.30 petang ketika sedang bermain bersama beberapa rakannya.
Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, iaitu pada pukul 8.16 malam.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui malam ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan sembilan anggota, termasuk tiga anggota dari BBP Subang Jaya serta pasukan bantuan PPDA dari BBP Shah Alam.
Operasi pencarian masih dijalankan bagi mengesan mangsa.

