CYBERJAYA – Technology Depository Agency Bhd (TDA) memulakan fasa baharu pembangunan apabila melantik Tan Sri Datuk Liew Yun Fah sebagai Pengerusi baharu agensi itu, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa keupayaan teknologi negara serta mempertingkat nilai strategik perolehan kerajaan.
Pelantikan yang berkuat kuasa pada 15 Jun lalu itu dibuat ketika TDA melangkah memasuki dekad kedua operasinya dengan fokus memperluaskan impak Program Kolaborasi Industri (ICP) dan inisiatif Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) dalam pembangunan industri negara.
Berbekalkan pengalaman luas dalam kepimpinan sektor awam dan tadbir urus strategik, Liew dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan TDA sebagai pemacu pembangunan teknologi, inovasi serta kerjasama industri di Malaysia.
Agensi yang berada di bawah mandat Kementerian Kewangan itu bertanggungjawab melaksanakan ICP selain menerajui pelaksanaan PBC bagi memastikan setiap perolehan kerajaan memberi pulangan ekonomi, teknologi dan pembangunan industri yang lebih mampan.
Mengulas pelantikannya, Liew merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui agensi berkenaan.
“Saya berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi TDA. Sepanjang sedekad lalu, TDA telah membina asas yang kukuh serta memperoleh kepercayaan daripada kerajaan, pihak industri dan pelbagai pihak berkepentingan strategik.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta semua pihak berkepentingan bagi terus memperkukuh sumbangan agensi ini ke arah pembangunan teknologi dan perindustrian Malaysia,” katanya.
Ditubuhkan pada 2015, TDA kini berperanan sebagai institusi nasional yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan industri serta menyelia pelaksanaan ICP di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.7.
Selain itu, TDA turut diiktiraf sebagai Pusat Rujukan Malaysia bagi pelaksanaan PBC di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.8, di samping membantu kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri strategik memaksimumkan manfaat daripada perolehan kerajaan.
Dalam tempoh akan datang, TDA menyasarkan untuk memperkukuh pelaksanaan ICP, memperluaskan penggunaan PBC, mempercepat inovasi teknologi serta mengeratkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
Di bawah kepimpinan baharu itu, agensi berkenaan optimis mampu meningkatkan daya saing industri tempatan, memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi.


