GEORGE TOWN – Keadaan berjerebu tidak mematahkan semangat kira-kira 25,000 pengunjung yang membanjiri Padang Kota Lama bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sejak awal pagi, rakyat pelbagai kaum memenuhi kawasan bersejarah itu untuk menyaksikan acara perbarisan, perarakan dan persembahan khas yang berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri dan jawatankuasa penganjur sentiasa memantau keadaan jerebu sejak beberapa hari sebelum sambutan berlangsung.
“Jawatankuasa dan Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan dan bersyukur kerana meskipun masih berjerebu, keadaan itu tidak menghalang penyertaan rakyat Pulau Pinang sehingga 25,000 orang hadir memeriahkan sambutan pada tahun ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, semua jawatankuasa penganjur, jawatankuasa kecil, kontinjen, rakyat dan media yang bersama-sama menjayakan sambutan yang begitu meriah serta memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sambutan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang; bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil.
Acara rasmi dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Kedua RAMD dan Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja sebelum Tun Ramli melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan.
Upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kemudian berlangsung dengan iringan kira-kira 80 murid Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin Bukit Mertajam yang mempersembahkan lagu patriotik Jalur Gemilang dan Tanggal 31.
Sorakan ‘Merdeka!’ sebanyak tujuh kali yang dipimpin atlet taekwondo, Ikhwan Irfan Rus Hisham selepas lafaz ikrar Rukun Negara turut bergema di Padang Kota Lama, sekali gus menyemarakkan lagi suasana sambutan.
Antara tarikan utama tahun ini ialah perarakan melibatkan 125 kontinjen berjalan kaki dan 29 kontinjen berkenderaan, membabitkan kira-kira 9,152 peserta daripada jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagi kontinjen berkenderaan, seramai 1,120 anggota terlibat dengan keseluruhan 731 unit kenderaan mengambil bahagian dalam perarakan.
Persembahan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Kedua Kor Polis Tentera Diraja pula mencuri perhatian pengunjung apabila anggota mempamerkan ketangkasan menerusi enam segmen demonstrasi termasuk teknik serangan dan tangkisan, pertahanan, simulasi aksi sebenar serta teknik pemusnahan.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan koir selain pelbagai aktiviti untuk pengunjung termasuk persembahan busker dan tradisional, kraf Merdeka, aktiviti mewarna, ‘face painting’, pertandingan teka jumlah bendera, foosball serta e-sukan.

