KAMPAR – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, malam tadi, apabila tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara, dikebumikan bersama dalam satu liang lahad.
Jenazah pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni, selamat dikebumikan kira-kira jam 11 malam.
Kira-kira 300 penduduk kampung, saudara-mara dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga mangsa.
Sebelum dibawa pulang ke Perak, kesemua jenazah selesai menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, sebelum disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang.
Ketiga-tiga mangsa maut selepas dirempuh lori ‘Black Maria’ JIM dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kira-kira jam 1 pagi Rabu.
Dalam kejadian itu, isteri kepada Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, turut cedera dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi menjalankan operasi membanteras pendatang tanpa izin.
Lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu suar dan siren diaktifkan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu hijau.
Impak perlanggaran menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengebumian tiga beranak itu berakhir kira-kira jam 11 malam selepas keluarga dan penduduk kampung bersama-sama mengiringi jenazah ke liang lahad.

