Selasa, 1 September 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalKerajaan tambah peruntukan RM1.5 bilion untuk baiki sekolah

Kerajaan tambah peruntukan RM1.5 bilion untuk baiki sekolah

PUTRAJAYA – Masalah tandas rosak, bumbung bocor dan kemudahan uzur di sekolah bakal diberi perhatian lebih pantas apabila kerajaan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan institusi pendidikan sebanyak 50 peratus kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan sebanyak RM500 juta berbanding RM1 bilion sebelum ini mencerminkan keutamaan kerajaan untuk memastikan masalah kemudahan dan kerosakan sekolah tidak berlarutan sehingga menjejaskan keselesaan warga pendidikan.

Lebih penting, peruntukan berkenaan tidak terhad kepada satu aliran pendidikan, sebaliknya meliputi semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Sekolah agama, tahfiz, pondok serta institusi pendidikan khas turut akan menerima manfaat daripada peningkatan peruntukan tersebut.

“Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan.

“Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan mulai bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, pendekatan turun padang itu penting bagi membolehkan keperluan pembaikan dikenal pasti secara langsung di peringkat daerah, sekali gus mempercepat tindakan terhadap sekolah yang memerlukan penyelenggaraan.

Langkah berkenaan juga dijangka membolehkan permohonan berkaitan kerosakan dan kemudahan sekolah diteliti dengan lebih tersusun tanpa menyebabkan pihak sekolah terpaksa menunggu terlalu lama untuk tindakan pembaikan.

Peningkatan daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion itu bersamaan tambahan RM500 juta atau 50 peratus bagi penyelenggaraan sekolah pada tahun hadapan.

Kerajaan menegaskan kemudahan pendidikan yang selamat dan kondusif menjadi antara keutamaan, khususnya dalam memastikan murid serta warga sekolah dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran yang lebih baik.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-