KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar prasiswazah sepenuh masa di universiti awam (UA) dan politeknik akan mendapat kemudahan kolej kediaman menjelang 2035 menerusi pelaksanaan dasar baharu yang memberi penekanan kepada kebajikan mahasiswa.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sasaran itu digariskan melalui Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024 hasil libat urus bersama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia serta kepimpinan mahasiswa.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan penyediaan penginapan yang selesa, selamat dan kondusif, khususnya kepada pelajar yang memerlukan termasuk daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kerajaan komited menyediakan penginapan yang selesa, selamat dan kondusif kepada mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan.
“Lebih banyak kolej kediaman akan dibangunkan sebagai pelan jangka panjang KPT bagi meningkatkan keselesaan mahasiswa, terutama pelajar daripada kumpulan B40,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai usaha kerajaan menangani isu kekurangan penempatan pelajar di institusi pendidikan tinggi awam.
Zambry berkata, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KPT menerima peruntukan RM1.1 bilion bagi kerja penggantian, naik taraf dan pemulihan infrastruktur usang di IPTA.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM225 juta diperuntukkan khusus untuk membaik pulih asrama sedia ada bagi meningkatkan keselesaan penghuni.
Selain itu, beliau memaklumkan sebanyak 36 projek kolej kediaman dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta (PPP), dengan 15 projek telah siap dan mampu menyediakan kira-kira 45,000 tempat penginapan kepada mahasiswa.
“Dalam tempoh RMK13, kerajaan merancang membina lima kolej kediaman baharu di universiti awam melalui kaedah PPP yang dijangka dapat menampung kira-kira 21,000 pelajar,” katanya.
Mengulas isu pelajar yang masih terpaksa menyewa di luar kampus, Zambry berkata, keutamaan penempatan kolej kediaman diberikan kepada pelajar daripada kumpulan B40, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), asnaf serta mahasiswa yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Kesatria.
Beliau turut menjelaskan bahawa universiti melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menyediakan pengangkutan kepada pelajar B40 dan M40 yang menyewa di luar kampus bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.


