Selasa, 23 Jun 2026
spot_img
HomeDuniaMalaysia terus tekan Israel, sokong damai AS-Iran demi stabiliti ekonomi global

Malaysia terus tekan Israel, sokong damai AS-Iran demi stabiliti ekonomi global

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mempergiat usaha diplomatik bersama masyarakat antarabangsa bagi memastikan keamanan berkekalan di Asia Barat, termasuk memberi tekanan terhadap Israel supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh menggagalkan proses damai di rantau berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian itu susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dilihat sebagai langkah penting ke arah menamatkan konflik berpanjangan di Asia Barat.

Menurut beliau, kestabilan di rantau tersebut bukan sahaja penting dari sudut keselamatan serantau, malah mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi dunia termasuk Malaysia yang bergantung kepada kelancaran laluan perdagangan antarabangsa.

“Ada pihak yang berkepentingan mahu menggagalkan rundingan damai. Sebab itu masyarakat antarabangsa perlu terus memberi tekanan supaya segala bentuk pencerobohan dihentikan.

“Malaysia memainkan peranan secara tidak langsung supaya keamanan di rantau Asia Barat ini segera dipulihkan kerana ia tidak mendatangkan faedah dan membawa akibat yang amat buruk kepada seluruh dunia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pendirian dan peranan Malaysia berhubung pengumuman MoU antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat.

Mohamad berkata, kerajaan menyambut baik persetujuan yang dicapai selepas kedua-dua negara melalui proses rundingan yang panjang termasuk menyelesaikan beberapa perbezaan pandangan berkaitan isu pengayaan uranium Iran.

Katanya, MoU berkenaan mengandungi 14 perkara yang akan dirunding dan dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat peperangan serta beberapa komitmen lain bagi meredakan ketegangan.

Beliau menjelaskan, gangguan terhadap Selat Hormuz sebelum ini telah memberi kesan kepada rantaian bekalan global, khususnya melibatkan minyak mentah, gas asli cecair (LNG), baja dan pelbagai komoditi utama.

“Malaysia turut menerima kesan kerana sebahagian bekalan minyak mentah dunia melalui Selat Hormuz. Sebab itu apabila laluan tersebut terganggu, harga bahan api termasuk diesel harganya melambung tinggi.

“Jadi kita bersyukur kerana kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk menandatangani satu persetujuan yang mempunyai 14 syarat,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara terawal yang menyatakan sokongan terhadap pemeteraian MoU berkenaan dan akan terus memantau perkembangan pelaksanaannya, termasuk menawarkan sokongan moral jika diperlukan.

“Kita berdoa supaya proses meratifikasi MoU yang sedang berlangsung dapat mencapai kata sepakat kerana keamanan di Asia Barat amat penting kepada seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia sebelum ini turut menjadi antara penaja bersama resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa pembukaan semula Selat Hormuz dan pemulihan keamanan di Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kebimbangan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba menggagalkan usaha damai, termasuk operasi ketenteraan berterusan Israel di Lubnan dan serangan ke atas wilayah Palestin.

“Kita juga akan terus memainkan peranan secara diplomatik bersama masyarakat antarabangsa demi memastikan konflik di Asia Barat dapat ditamatkan dan keamanan berkekalan dapat dicapai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine