PUCHONG – “Yang lain, jangan jadi macam saya. Panas baran.”
Itu pengakuan seorang rider yang sebelum ini tular dan dikecam susulan pertelingkahannya dengan seorang warga emas, apabila dia akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka dan menyelesaikan perselisihan tersebut secara baik.
Menerusi video permohonan maaf yang dikongsikan di Threads, lelaki terbabit dilihat duduk bersama warga emas berkenaan sambil mengakui kesilapannya kerana bersikap tidak sopan ketika kejadian.
“Saya yang viral baru-baru ini ingin memohon maaf kepada pakcik dan kami selesai secara baik sebab saya tak beradab dengan orang tua dan tak bersopan santun.
“Yang lain, jangan jadi macam saya. Panas baran,” katanya.
Sebelum ini, lelaki berkenaan menjadi perhatian selepas video pertelingkahannya dengan warga emas itu tular apabila dia mendakwa berlaku insiden membabitkan motosikalnya dan kenderaan dipandu lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang muncul selepas itu mencetuskan perdebatan mengenai apa sebenarnya berlaku, selain ramai warganet mengecam cara rider terbabit berkomunikasi dengan warga emas berkenaan.
Anak kepada warga emas itu sebelum ini turut tampil mempertahankan bapanya dan memaklumkan laporan polis dibuat, selain menuntut nama serta maruah bapanya dibersihkan.
Terbaharu, keluarga warga emas berkenaan mengesahkan kedua-dua pihak sudah berdamai dan bersetuju untuk tidak meneruskan pertikaian itu.
“Atas budi bicara pihak sana dan keluarga saya, kami bersetuju menarik balik kes saman viral ini.
“Kami tahu ada ramai yang tak berpuas hati tapi keputusan ini dari pihak ayah saya dan saya berharap semua dapat hormati keputusan ayah saya. Ayah nak hidup tenang-tenang saja,” katanya menerusi Threads.
Menurutnya, bapanya kini berada dalam keadaan baik dan berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada rider terbabit.
“Semoga kejadian ini boleh jadi tauladan untuk awak dan jangan ulang lagi. Hantar makanan elok-elok. Jangan baran-baran,” katanya.
Dia turut membenarkan halaman media sosial yang sebelum ini berkongsi mengenai kontroversi tersebut memuat naik semula video permohonan maaf bagi mengelakkan keadaan terus menjadi keruh.
Perdamaian kedua-dua pihak menerima pelbagai reaksi warganet. Ada yang menghormati keputusan warga emas berkenaan untuk menyelesaikan isu secara baik, manakala sebahagian lain berpendapat tindakan undang-undang sepatutnya diteruskan sebagai pengajaran. – Threads
