Selasa | 22/09/2026 | 6:00:01 pm
HomeJenayah53 ditahan dalam Op Pedo, kanak-kanak seawal 13 tahun antara terlibat

53 ditahan dalam Op Pedo, kanak-kanak seawal 13 tahun antara terlibat

KUALA LUMPUR – Operasi membanteras jenayah seksual dalam talian membongkar penglibatan golongan seawal usia 13 tahun apabila lapan kanak-kanak antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu 3.0 di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA
  • Lebih mengejutkan, operasi itu turut menemukan penglibatan dua penjawat awam, masing-masing seorang guru berusia 24 tahun di Pahang dan pembantu makmal berusia 44 tahun…
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M.
  • Kumar berkata, operasi selama tiga hari bermula 14 September lalu itu menyasarkan 92 individu di seluruh negara.
  • Menurut Kumar, lapan kanak-kanak berkenaan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang perempuan, dengan kesemua mereka berusia antara 13 hingga 18 tahun.
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

Lebih mengejutkan, operasi itu turut menemukan penglibatan dua penjawat awam, masing-masing seorang guru berusia 24 tahun di Pahang dan pembantu makmal berusia 44 tahun di Terengganu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi selama tiga hari bermula 14 September lalu itu menyasarkan 92 individu di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 52 serbuan membawa kepada tangkapan, manakala 40 lagi tidak menghasilkan sebarang tangkapan.

“Daripada 53 tangkapan, 52 merupakan warganegara tempatan dan seorang warga Bangladesh.

“Yang merisaukan adalah umur keseluruhan individu ditangkap antara 13 hingga 56 tahun dengan lapan merupakan kanak-kanak dan 45 dewasa. Individu paling muda ialah kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 di Dewan Theatrette, Menara 1 Bukit Aman, hari ini.

Menurut Kumar, lapan kanak-kanak berkenaan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang perempuan, dengan kesemua mereka berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Siasatan turut menemukan perkembangan yang lebih membimbangkan apabila sebahagian kanak-kanak terbabit didapati tidak hanya mendapatkan bahan berkenaan, malah menghasilkan kandungan animasi sendiri untuk dijual secara dalam talian.

“Ada yang menghasilkan animasi, bukan semua. Harga jualan pula bergantung kepada kandungan, ada RM50 dan ada RM60.

“Tidak banyak, tetapi yang membimbangkan adalah trend dan hala tujunya. Ini yang kita perlu beri perhatian serius,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata dua penjawat awam yang ditahan tidak mempunyai hubungan dengan lapan kanak-kanak terbabit dan kedua-duanya bekerja di sekolah yang berbeza.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan mereka dalam sektor pendidikan menyebabkan aspek akses kepada kanak-kanak perlu diteliti dalam siasatan.

Beliau pada masa sama mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan aktiviti anak-anak di media sosial, terutama dengan peningkatan keupayaan golongan muda menggunakan teknologi digital.

Katanya, pemantauan berterusan penting bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kandungan berbahaya atau terlibat dalam komuniti dalam talian yang boleh mendorong kepada aktiviti jenayah.

Siasatan terhadap lapan kanak-kanak terbabit masih diteruskan sebelum perkara berkenaan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan tindakan lanjut. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 22 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|