PETALING JAYA – Meskipun mendakwa hanya berbaki RM200 untuk menampung perbelanjaan sehingga hujung bulan, seorang lelaki tetap mahu menyumbangkan sebahagian wangnya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tanda mengenang bantuan yang pernah dirasainya ketika hidup susah.
- Menurutnya, antara inisiatif yang pernah membantunya ketika itu ialah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), yang menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik.
- Khairul berkata, pengalaman itu menjadi antara sebab dia mahu menyumbang kepada Najib meskipun keadaan kewangannya ketika ini juga terhad.
- KR1M diperkenalkan pada 2011 ketika pentadbiran Najib dengan matlamat menyediakan barangan keperluan pada harga kompetitif kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
- Rekod Parlimen turut menyatakan matlamat inisiatif berkenaan adalah menyediakan barangan pada harga rendah dan munasabah kepada rakyat.
Pemilik akaun Facebook, Khairul Johari berkata, keputusannya itu dibuat berdasarkan pengalaman peribadi ketika mula bekerja dengan pendapatan kecil sehingga setiap perbelanjaan termasuk minyak motosikal dan barangan keperluan perlu dikira.
Menurutnya, antara inisiatif yang pernah membantunya ketika itu ialah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), yang menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik.
“Bayangkan, ketika tengah susah dan duit tidak banyak, apabila ada kedai yang boleh membantu kita membeli barangan keperluan dengan harga yang mampu, mestilah kita rasa bersyukur.
“Jadi salahkah kalau hari ini aku mahu ucap terima kasih atas perkara yang pernah aku rasa manfaatnya?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Khairul berkata, pengalaman itu menjadi antara sebab dia mahu menyumbang kepada Najib meskipun keadaan kewangannya ketika ini juga terhad.
“Duit dalam poket aku sekarang pun ada RM200 sahaja untuk belanja sampai hujung bulan ini. Tapi aku tetap mahu menyumbang sedikit.
“Aku pernah merasai manfaat daripada inisiatif beliau ketika aku susah dahulu. Jadi hari ini aku mahu membalas budi setakat yang aku mampu,” katanya.
KR1M diperkenalkan pada 2011 ketika pentadbiran Najib dengan matlamat menyediakan barangan keperluan pada harga kompetitif kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Rekod Parlimen turut menyatakan matlamat inisiatif berkenaan adalah menyediakan barangan pada harga rendah dan munasabah kepada rakyat.
Dalam pada itu, Khairul menepis pandangan pihak tertentu yang mencadangkan supaya wang berkenaan disalurkan kepada pusat tahfiz atau golongan memerlukan.
Dia mendakwa sudah melakukan sumbangan kebajikan secara berkala termasuk menghantar kambing ke pusat tahfiz dan masjid, selain pernah menggunakan wang sendiri untuk membantu membayar kerugian sebuah pasar raya membabitkan individu yang mencuri makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, Khairul menegaskan tindakannya itu adalah keputusan peribadi dan dia tidak pernah meminta orang lain melakukan perkara sama.
“Aku tidak ambil duit korang dan aku tidak minta korang setuju dengan aku.
“Aku cuma berkongsi pengalaman sendiri dan kenapa aku rasa mahu membalas budi,” katanya.
Menurutnya, setiap individu mempunyai pengalaman hidup berbeza dan keputusan seseorang menggunakan wang sendiri sewajarnya dihormati. – Facebook
