Jumaat | 18/09/2026 | 12:06:46 am
HomeHiburanHampir 15,000 ‘bersarong’ gegarkan Georgetown, datang dari seluruh Malaysia

Hampir 15,000 ‘bersarong’ gegarkan Georgetown, datang dari seluruh Malaysia

GEORGE TOWN – Dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak, hampir 15,000 pengunjung membanjiri Keretapi Sarong Georgetown 2026 dengan busana tradisional masing-masing, sekali gus menjadikan bandar raya warisan itu medan pertemuan budaya rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia.

RINGKASAN BERITA
  • Memasuki tahun ketiga penganjurannya di Pulau Pinang, edisi kali ini mencatat kelainan apabila buat pertama kalinya dianjurkan oleh Penang Ferry Museum, bertepatan genap setahun…
  • Seorang urus setia program, Afiq Rosdi, 25, berkata sambutan kali ini cukup memberangsangkan apabila peserta bukan sahaja hadir dari sekitar Pulau Pinang, malah sanggup…
  • Menurutnya, penganjuran di Georgetown itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Keretapi Sarong yang sudah sedekad diraikan di seluruh negara.
  • Bersempena Hari Malaysia dan Keretapi Sarong Georgetown, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang turut menawarkan perjalanan feri secara percuma kepada pengguna di kedua-dua terminal dengan hanya…
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya di Pulau Pinang, edisi kali ini mencatat kelainan apabila buat pertama kalinya dianjurkan oleh Penang Ferry Museum, bertepatan genap setahun pengoperasian muzium berkenaan.

Seorang urus setia program, Afiq Rosdi, 25, berkata sambutan kali ini cukup memberangsangkan apabila peserta bukan sahaja hadir dari sekitar Pulau Pinang, malah sanggup melakukan perjalanan dari Perlis, Kuala Kangsar, Pantai Timur, Kuala Lumpur termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pihak penganjur sangat teruja dengan sambutan dan kemeriahan Keretapi Sarong Georgetown 2026 kali ini apabila hampir 15,000 pengunjung dari seluruh Malaysia hadir bersama-sama meraikannya”.

“Selain mempromosikan keunikan budaya dan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, acara ini turut menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam termasuk Rapid Penang, KTM Komuter dan perkhidmatan feri,” katanya.

Afiq Rosdi sibuk menghiburkan para pengunjung Keretapi Sarong di pentas mini sepanjang acara berlangsung.

Menurutnya, penganjuran di Georgetown itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Keretapi Sarong yang sudah sedekad diraikan di seluruh negara.

Bersempena Hari Malaysia dan Keretapi Sarong Georgetown, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang turut menawarkan perjalanan feri secara percuma kepada pengguna di kedua-dua terminal dengan hanya perlu mengemukakan kad pengenalan.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan sebagai penghargaan kepada pengguna selain menggalakkan lebih ramai masyarakat memilih pengangkutan awam ketika bergerak di sekitar Pulau Pinang.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, pelancaran lagu runut bunyi (OST) filem Anak Mami Jarum, demonstrasi membuat muruku, tayangan filem P. Ramlee, permainan tradisional, vendor makanan serta reruai pameran.

Beberapa rakan kolaborasi turut menyediakan hadiah cabutan bertuah termasuk tiket penerbangan ke Batam, Indonesia dan Kuala Lumpur tajaan Batik Air serta baucar penginapan dua hari satu malam di beberapa hotel empat dan lima bintang sekitar Pulau Pinang.

Bagi pengunjung, Amni Maisarah, suasana meriah sudah dirasainya sebaik tiba kira-kira pukul 11 pagi apabila kawasan acara dipenuhi orang ramai dengan pelbagai busana tradisional.

“Kami sampai sekitar pukul 11 pagi dan memang meriah. Di sana sini orang memakai pakaian tradisional. Ada persembahan boria Pulau Pinang dan persembahan Baba Nyonya yang mengetengahkan budaya Peranakan”.

“Suasananya sangat spontan sebab semua orang sporting. Yang muda dan tua sama-sama menikmati acara, memang seronok,” katanya.

Menurut Amni, antara tarikan lain yang mencuri perhatiannya ialah pelancaran berkaitan Anak Mami Jarum di pentas utama selain ruang permainan tradisional yang menyediakan congkak, dam dan karom.

Katanya, gabungan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang menjadikan pengalaman menyertai Keretapi Sarong kali ini lebih menarik kerana masing-masing bebas bergaul serta meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana santai.

Penganjuran Keretapi Sarong Georgetown 2026 bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan seni dan warisan pelbagai komuniti, malah membawa semangat Hari Malaysia lebih dekat kepada masyarakat menerusi budaya, pengangkutan awam dan ruang kebersamaan.

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 18 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|
BAHASA |