IPOH – Tindakan membunyikan hon selepas sebuah kereta didakwa menghimpit kenderaan lain dipercayai mencetuskan perselisihan faham sehingga seorang lelaki mengacukan sebatang kayu dalam kejadian di Jalan Ipoh-Gopeng, Simpang Pulai, semalam.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 4.56 petang itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebelum rakamannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kenderaan mangsa didakwa dihimpit sebuah Toyota Vios.
Perselisihan faham kemudian tercetus selepas mangsa membunyikan hon terhadap kenderaan berkenaan.
“Susulan itu, dua lelaki keluar dari Toyota Vios berkenaan sebelum seorang daripada mereka didakwa membawa dan mengacukan sebatang kayu ke arah abang mangsa.
“Kejadian tersebut turut dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) dan rakaman berkenaan kini tular di media sosial Threads,” katanya hari ini.
Menurut Muhammad Najib, polis kini giat mengesan individu yang terlibat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Terdahulu, beberapa rakaman dashcam dan gambar tular memaparkan pertelingkahan membabitkan beberapa individu di tepi jalan, termasuk seorang lelaki dilihat memegang serta mengacukan objek menyerupai kayu atau cota.
Muhammad Najib turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak agresif sekiranya berlaku perselisihan faham ketika memandu.
Beliau berkata, pengguna jalan raya perlu memandu secara cermat dan mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.
