KUALA LUMPUR – Menjelang hari bahagia pada 10 Oktober depan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama bakal isterinya, Bella Astillah memilih untuk mendapatkan ‘bekalan’ rumah tangga daripada figura yang disifatkannya cukup memahami erti pengorbanan dan kesetiaan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Syed Saddiq, 34, berkata, dia dan Bella meluangkan hampir dua jam bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi mendengar sendiri nasihat, pengalaman serta pesanan untuk dibawa memasuki alam perkahwinan.
“Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Wan Azizah.
“Kalau nak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau yang memahami selok-belok dunia politik,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Menurut Syed Saddiq, Wan Azizah bukan sahaja memahami cabaran dunia politik, malah melalui pelbagai ujian sebagai seorang isteri dan ibu namun kekal teguh bersama keluarganya.
“Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu. Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga,” katanya.
Syed Saddiq turut menyifatkan Wan Azizah sebagai ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’ selain mengimbau pengalamannya pernah berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet.
Pertemuan itu bagaimanapun bukan sekadar sesi mendapatkan nasihat apabila pasangan berkenaan turut menyerahkan sendiri kad undangan perkahwinan mereka kepada Wan Azizah.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet tetapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin.
“Terima kasih Datuk Seri atas hampir dua jam nasihat, cerita dan pesanan untuk kami berdua. Insya-Allah, nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq turut menghantar sendiri kad jemputan perkahwinannya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang dianggap antara tetamu penting pada hari bahagianya.
Syed Saddiq dan Bella sebelum ini mengumumkan mereka bakal mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2026, dengan majlis pernikahan dijadual berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur.
Pasangan itu dilaporkan mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat sejak tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
