MahkamahMuhyiddin dilepas, dibebaskan empat pertuduhan Jana Wibawa babit RM200 juta

Muhyiddin dilepas, dibebaskan empat pertuduhan Jana Wibawa babit RM200 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi pada Selasa melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan Program Jana Wibawa membabitkan keseluruhan RM200 juta.

Keputusan itu melibatkan satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram selepas Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya perintah lepas dan bebas diberikan bagi empat pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu masih perlu meneruskan perbicaraan bagi tiga lagi pertuduhan berkaitan program sama.

“Mahkamah melepas dan membebaskan empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim.

Mengikut pertuduhan yang dilepas dan dibebaskan itu, Muhyiddin, 79, sebelum ini didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan RM200 juta bagi parti berkenaan daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada syarikat sama yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Muhyiddin bagaimanapun masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada beberapa pihak berkaitan Projek Jana Wibawa.

Sejurus keputusan dibacakan, Muhyiddin yang berada di kandang tertuduh dilihat lega, manakala penyokongnya di galeri awam menyambut keputusan berkenaan dengan sorakan.

Berita selanjutnya menyusul.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-