NasionalEmpat kanak-kanak maut dipercayai terjatuh ketika cuba ambil bola dalam longkang

Empat kanak-kanak maut dipercayai terjatuh ketika cuba ambil bola dalam longkang

KULIM – Hasrat empat kanak-kanak keluar bermain bola berakhir tragedi apabila kesemua mereka ditemukan lemas dalam sebuah longkang berhampiran kolam tadahan di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini, pada Isnin.

Kesemua mangsa berusia antara lapan hingga 12 tahun dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8; serta dua rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

Menurutnya, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 7.45 malam memaklumkan terdapat empat mangsa lemas berhampiran kolam tadahan berkenaan.

“Pasukan perubatan terlebih dahulu mengesahkan dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kulim,” katanya.

Syamsul berkata, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati kesemua kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah untuk bermain bola sebelum kejadian berlaku.

“Selepas itu, dipercayai bola terjatuh ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola tersebut sebelum terjatuh ke dalam longkang,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini difahamkan tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan.

Longkang terbabit dianggarkan sedalam kira-kira tiga meter dengan lebar sekitar 1.8 meter.

Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-